MOH DENGHO DAN IKUT BACA AL QURAN

Tuesday, July 7, 2009

PETIKAN DARIPADA LAMAN BLOG AZLI ABDULLAH

PETIKAN DARIPADA LAMAN BLOG AZLI ABDULLAH
(http://rimbun.weblog.ihsan.com/viewarchive.php?_blogMonth=2006-11&_blogYear=2006&_blogMonthText=November+2006&_blogId=azli@ihsan.com


November 2006 Sunday @ 4:18:15 am
DOSA, REZEKI DAN TAUBAT

Dosa itu tidak ubah seumpama najis. Apabila najis itu lekat pada tubuh, lumrahnya orang yang waras akan terbau busuk, berasa loya dan jijik.
Sekiranya dibersihkan, bau menjijikkan itu akan hilang, membolehkan seseorang itu berasa lega, bersih dan sejahtera. Namun sekiranya najis itu dibiarkan, ia terus menerus menebal, rasa jijik itu akan lali, alah bisa tegal biasa, kerana kotoran itu telah sebati menjadi budaya.
Orang yang seperti ini menjadikan dosa-dosa itu sebahagian daripada budaya hidupnya. Jiwa dan pemikirannya lebih berkecenderungan melakukan kejahatan. Kalau tidak melakukan kejahatan, di rumah ia tidak mencapai kepuasan hidup.
Merasakan suasana sekeliling yang natural, yang tidak ada padanya bau busuk itu sebagai sesuatu yang asing.
Dosa itu menyebabkan timbulnya sesuatu titik hitam di hati. Andainya seseorang itu bertaubat dan menjauhkan dosa, memohon keampunan, maka bersihlah semula hatinya. Sebaliknya, kalau dia menambah lagi dosanya, maka titik hitam itu akan bertambah, sehinggalah seluruh hatinya menjadi hitam. Itulah yang menutup hati. Pada hakikatnya, titik hitam yang menutup hati itu ialah dosa-dosa tadi.
Pada mereka yang terus melakukan maksiat dan kemungkaran, Allah akan patrikan pada hati, pendengaran dan penglihatan. Mereka boleh memikir tentang keburukan dan kebaikan kerana mereka tetap mempunyai akal yang waras. Mereka boleh berfikir tentang balasan dan nikmat Allah, mata mereka jelas melihat bala yang Allah turunkan terhadap mereka yang terus-menerus melakukan maksiat.
Mereka mempunyai akal, tahu bahawa perbuatan maksiat yang dilakukan boleh membinasakan diri dan orang lain ketika hidup di dunia dan di akhirat kelak, Allah akan menyeksa mereka. Namun mereka tidak mempedulikannya.
Mereka ini termasuk dalam golongan orang yang sesat, tidak ubah seperti binatang, malah lebih sesat.
Tabiat semula jadi manusia lebih berkecenderungan melakukan kejahatan kecuali mereka yang mendapat hidayah dan beriman kepada Allah Yang Maha Esa.
Rasulullah s.a.w. ada bersabda: Kalaulah tidak kerana tiga perkara, manusia itu tidak akan menundukkan kepalanya, patuh taat perintah Allah iaitu kefakiran, sakit yang menimpa dan maut yang meragut nyawa.
Kefakiran, kemiskinan atau kepicikan hidup sering menginsafkan manusia, menjadikan mereka taatkan perintah Allah. Begitulah lumrah hidup, tidak kurang yang hidup merempat, namun tetap melakukan kemungkaran, menyakiti orang lain tanpa kesudahan.
Sakit juga melahirkan keinsafan, sama ada pada diri atau orang yang hampir dengannya, begitu juga dengan kematian. Semuanya boleh menimbulkan rasa insaf pada diri, ketika itu barulah seseorang ingatkan Allah.
Saudara di antara golongan manusia yang diberi hidayah untuk kembali ke jalan yang benar melalui iktibar yang berlaku. Dalam surah Ali Imran: 135 dijelaskan bahawa Allah menyuruh agar mereka yang terjerumus melakukan kejahatan atau menganiaya diri sendiri memohon keampunan kepada-Nya juga segala dosa mereka.
Yakinlah bahawa Allah sentiasa menerima taubat hamba-Nya dan mengampunkan daripada kejahatan. Baginda ada bersabda menyatakan bahawa taubat kerana dosa-dosa itu adalah seperti sabun yang membersihkan pakaian.

Rezeki

Baginda juga ada bersabda, bahawa mereka yang memperbanyakkan istigfar, akan diangkat daripada kegundahan yang berlaku, juga daripada setiap kesempitan dan Allah akan memberi rezeki tanpa dihisab.
Perlu difahami bahawa setiap pendapatan yang diperoleh daripada sumber haram, maka haramlah memakannya. Apabila hasil itu diberi makan kepada orang lain, orang yang berkenaan adalah terlibat dengan penggunaan wang atau makanan yang haram tadi, sama ada disedari dengan jelas atau tidak.
Allah tidak memberkati kehidupan mereka yang melencong termasuk yang menyeludup seperti saudara lakukan biarpun ganjaran yang diperoleh banyak.
Saudara mendapat ganjaran yang banyak hasil penyeludupan ganja dan pil estascy. Hakikatnya saudara tidak dapat menikmati ganjaran hasil pertaruhan nyawa di sempadan. Allah tidak memberkati mereka yang bermain judi, nombor ekor, judi kuda dan sebagainya.
Saudara perlu bertaubat kembali ke jalan Allah. Tidak melakukan kerja-kerja penyeludupan, tunduk dan taat melakukan suruhan Allah. Kembalikanlah hak mereka yang saudara aniaya. Minta halalkan harta daripada mereka yang saudara ambil dengan zalim, pulangkan hutang yang belum dibayar, sama ada hutang lapuk atau yang baru. Minta maaf kepada mereka yang kita zalimi, termasuk yang difitnah dan disakiti juga makan minum daripada bahan haram, pada diri juga keluarga saudara. Saudara perlu ada azam dan tekad berbuat demikian.
Untuk kembali ke jalan Allah saudara perlu berilmu. Kerana itu pengetahuan agama wajib dipelajari. Tukar cara berfikir dan budaya hidup. Jauhkan diri daripada kawan-kawan yang melibatkan diri dengan penyeludupan. Kalau saudara menjadi bos, panggil anak buah, terangkan jalan yang benar dengan bijaksana.
Kalau selama ini saudara arah dan perintahkan mereka melakukan penyeludupan yang bertentangan dengan ajaran agama dan undang-undang negara, kali ini saudara arahkan mereka untuk melakukan sesuatu yang terbaik untuk agama dan negara yang disayangi.

Dosa

Termasuk dalam golongan orang-orang yang menipu ialah mereka yang mengaku takutkan neraka tetapi terus melakukan dosa. Merindui syurga tetapi tidak taat dan tunduk melakukan perintah Allah. Begitu juga yang mendakwa kasihkan Nabi, tetapi tidak mengikut sunah Rasulullah. Mereka penipu dan tidak bertaubat.
Orang yang bertaubat adalah kekasih Allah. Sesungguhnya Allah itu kasihkan mereka yang bertaubat juga mereka yang bersih.
Mereka yang terus melakukan kejahatan dan kemaksiatan, apabila hampir maut, berkata aku bertaubat, maka itu bukan sebenarnya taubat. Taubat mesti dilakukan secepat mungkin sebelum ghargarah (maut).
Semua orang terlibat dengan dosa. Allah memberi akal untuk berfikir dan memberi jalan syarat dijadikan panduan. Biar besar dosa atau kejahatan yang dilakukan oleh seorang anak, setiap ibu dan bapa terlalu rindu dan mengharap agar anaknya kembali ke pangkal jalan.
Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah Lagi Penyayang, lebih pemurah dan lebih penyayang daripada apa yang dimiliki oleh manusia, iaitu ibu dan bapa, malah Allah memiliki satu sifat yang tidak dimiliki oleh manusia, iaitu sifat pengampun.
Allah sentiasa mengharapkan hamba-Nya yang melakukan dosa pada waktu pagi agar bertaubat, kembali kepada-Nya pada waktu petang atau malam, begitu seterusnya ketika seorang hamba itu melakukan dosa pada waktu malam, termasuk mereka yang menyeludup ganja dan sebagainya.
Kalau seseorang itu bertaubat bukan kerana Allah, tetapi kerana sakit, kematian yang berlaku, kefakiran yang melanda, kemungkinan ia akan menjadi jahat semula apabila sakit sembuh, kemiskinan bertukar menjadi kaya dan ingatan tentang mati yang menyedarkan itu terhakis daripada ingatannya.
Kalau saudara renung dalam-dalam, saudara tidak ubah seperti orang yang tidak ada kerja atau menganggur, sama-sama tidak ada duit. Bezanya penganggur boleh tidur lena tetapi saudara berhempas pulas berfikir dan bertindak bagaimana hendak menyeludup ganja atau pil. Kemudian berfikir untuk membahagi-bahagikan bahan tadi, juga menyimpannya supaya selamat.
Macam-macam boleh berlaku kalau saudara salah langkah, besar kemungkinan akan melibatkan kecederaan atau nyawa tergadai. Sampai bila saudara akan terlibat dengan kegiatan ini, pada hal umur saudara dalam lingkungan 50-an. Ketahanan fizikal manusia lumrahnya akan menurun pada tahap umur seperti ini. Bertaubatlah segera sebelum terlambat.

posted by azli@ihsan.com

No comments:

Post a Comment